Info Panggung Bangsawan Melaka

Panggung Bangsawan (dahulunya Panggung Cathay Cinema lama) merupakan panggung wayang tertua di Negeri Melakadan amat popular pada satu ketika dahulu. Lokasi bangunan tersebut adalah amat strategik kerana ia terletak di tengah Bandar Melaka (Jalan Munshi Abdullah) dan bersebelahan dengan Sungai Melaka.

Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) telah mengambil inisiatif untuk menaik taraf bangunan tersebut. Pada 8 Ogos 2012, Kerajaan Negeri bersetuju panggung tersebut dinaiktaraf sebagai Panggung Bangsawan. Projek mula dilaksanakan pada 25 Februari 2013 dengan kos sebanyak RM7,210,250.00.

Diubahsuai menjadi lebih luas dan mampu memuatkan sebanyak 402 penonton bagi satu-satu pementasan. Turut dilengkapi dengan penghawa dingin, sistem audio dan pencahayaan yang canggih.Pembinaan panggung ini adalah bertujuan untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi mengekalkan kegemilangan sejarah Melayu Melaka.

Pelbagai pengisian pementasan kesenian dan kebudayaan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa telah dan akan dirancang untuk mengangkat semula martabat seni nilai budaya agar dapat diseimbangkan dengan pembangunan di negeri ini.

Ia juga bagi memenuhi hasrat Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang mahukan panggung ini menjadi salah satu ikon terkemuka di negeri Melaka dengan pelbagai pengisian pementasan kesenian dan kebudayaan berprestij serta bertaraf antarabangsa (sebagaimana Broadway di New York) dan secara langsung dapat mendidik masyarakat dan meningkatkan daya intelektual mengenai pengertian nilai seni sebenar.

PBM telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 23 Julai 2015 dan diserahkan secara rasminya kepada CMI pada 25 September 2015. Pelbagai aktiviti kesenian telah dilaksanakan dan akan dirancang untuk Panggung Bangsawan Melaka.